Mayat seorang lelaki dan wanita ditemui dalam keadaan membusuk dalam sebuah rumah di FELDA Tenggaroh 3 di sini, malam tadi.
Mayat lelaki itu dikenali sebagai A Wahab Yusof, 72, dan Nilam Ibrahim, 70, dan dipercayai pasangan suami isteri.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing, berkata siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu.
Katanya, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam kira-kira jam 11.05 malam yang memaklumkan terdapat bau busuk yang kuat dari sebuah rumah di Jalan Kenari di FELDA berkenaan.
"Polis tiba di lokasi kejadian kira-kira 11.50 malam dan bertindak memecah masuk rumah terbabit sebelum menjumpai dua tubuh manusia iaitu seorang lelaki dan wanita berpakaian, namun sudah meninggal dunia dan keadaan mayat yang membusuk.
"Ketika ditemui, mayat wanita itu dalam keadaan berpakaian dan berada di atas katil serta mula membusuk, sementara keadaan mayat lelaki juga dalam keadaan membusuk, mereput dan berair," katanya.
Katanya, kedua-dua mayat itu dibawa ke Hospital Mersing di sini, bagi tujuan bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian.



